Pendengaran hukuman Adam Adli kekal 9 Januari
SHAH ALAM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) kekal dengan pendirian 9 Januari ini untuk sesi pendengaran hukuman tatatertib terhadap pelajarnya, Adam Adli Abdul Halim yang menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 17 Disember lalu.
Walaupun desakan pelbagai pihak supaya Adam Adli tidak diambil tindakan tatatertib oleh Upsi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata, ia akan tetap diadakan jam 3 petang, 9 Januari ini.
Menurutnya, meskipun perhimpunan di perkarangan Upsi pada malam tahun baru lalu bertujuan mendesak supaya Adam Adli dibebaskan, pihaknya tidak berganjak dengan keputusan tindakan tatatertib terhadapnya.
“Adam Adli sedia maklum bahawa pendengaran hukuman akan diadakan pada 9 Januari ini atas tindakannya menurunkan bendera, namun penyertaannya pada demonstrasi di hadapan perkarangan Upsi juga akan dikenakan tindakan tatatertib sekali lagi oleh pihak Upsi ,” katanya.
Bagaimanapun katanya, notis tindakan tatatertib kepada Adam Adli akibat penyertaannya pada demonstrasi itu akan diserahkan dalam tempoh 10 ke 14 hari lagi.
Junaidi berkata, selain Adam Adli, seorang lagi mahasiswi Upsi, yang turut ditahan polis pada malam kejadian itu, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim, pelajar tahun ketiga juga tidak terlepas dengan hukuman tatatertib.
Dalam pada itu katanya, Upsi kini sedang menyiasat pembabitan beberapa mahasiswanya pada demonstrasi menuntut pembebasan Adam Adli dan penghapusan Akta Universiti dan Kolej (Auku) pada malam tahun baru lalu.
Junaidi berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman video dalam kejadian terbabit bagi memastikan identiti mahasiswa yang terlibat.
“Kami dimaklumkan terdapat beberapa mahasiswa Upsi yang terlibat. Jika terdapat bukti sahih pembabitan itu, mereka juga tidak akan terlepas dengan tindakan tatatertib oleh pihak Upsi,” katanya.
Sumber : Sinar
Related Posts : Info,
renungan
What's on Your Mind?
Write A Comment
Posted on Monday, January 2, 2012 by Nashrul Hakimie(Ottel Blog), under Info, renungan.