Selamat Datang Ke Blog Pembodohan Minda Sudah Tamat

Latest Writings

Luahan Hati Ally Tentang Perkahwinan Dengan Farah Lee

Tanggal 20 Januari 2012 bersamaan 26 Safar 1433, pengacara terkenal, Ally Iskandar Mohd Mardzi,36 bakal melangsungkan majlis pernikahan bersama pilihan hati, Nurfarahin binti Romli,23. Memilih Masjid Kristal, Kuala Terengganu sebagai saksi penyatuan mereka.

Nurfarahin nie atau nama popular nya Farah Lee ialah pelajar Kejuruteraan Mekanikal di Inha University, Incheon, Korea Selatan.Farah Lee dan Ally akan tamatkan zaman bujang mereka pada Jumaat ini.
1. Tinggal beberapa hari saja lagi sebelum Ally bakal melangsungkan majlis pernikahan dengan Farah, pada Jumaat ini. Mungkin Ally boleh kongsikan debaran Ally sebelum bergelar seorang suami.
Saya sedang gemuruh dalam tenang. Perasaan ini belum pernah saya alami. Sesekali saya perasan tindak tanduk saya tidak keruan. Nasib baik minggu ini tak bersiaran.
2. Persiapan Ally untuk melangkah ke ‘stage’ baru.
Alhamdulillah persiapan fizikal (hantaran, urusan majlis) berjalan baik. Sekarang ini saya sedang membuat persiapan mental dan jiwa. Begitu banyak yang perlu saya pelajari dan hayati.
3. Kongsikan perkenalan antara Ally dengan Farah.
Nurfarahin diperkenalkan oleh ahli keluarga. Saya kemudian disyorkan untuk menghubunginya. Kali pertama kami berhubung di Facebook. Selepas berhubung saya terus menyatakan niat saya untuk mencari seorang isteri. Ditakdirkan, dia juga memaklumkan keinginan mendirikan rumah tangga. Kebetulan Farah sedang cuti semester dan berada di Malaysia, lalu kami bersetuju untuk bersua muka untuk bertaaruf.
Kali pertama kami berjumpa di penghujung Ramadan. Saya bawa ibu dan adik sebagai ‘endorser’, manakala Farah ditemani kawan baiknya. Alhamdulillah hati saya terpaut (ibu dan adik turut memberi isyarat ‘like’) dan Farah juga memberi respon positif. Lalu saya menyatakan perancangan untuk bertemu keluarganya dan Farah bersetuju. 3 Syawal, keluarga saya ke rumah keluarga Farah dan pihak keluarga Farah menyatakan persetujuan. Cincin dihadiahkan sebagai tanda dan perancangan perkahwinan bermula.
4. Adakah Ally sendiri menjangkakan akan berkahwin secepat ini?
Tidak. Saya masih ‘kagum’ dengan tahap keyakinan saya untuk membuat keputusan yang sangat besar dalam hidup dalam masa yang begitu singkat. Saya berpegang kepada redha Allah terhadap setiap keputusan yang saya buat, selagi ia berkaitan dengan sesuatu yang baik dan membawa kebaikan.
5. Apakah ciri-ciri Farah yang membuatkan Ally jatuh cinta dengan anak ke-4 daripada 5 beradik ini?
Saya belum berkesempatan untuk jatuh cinta dengan Farah. Pendiriannya yang tegas adalah faktor utama saya tertarik dan menghormatinya.
6. Sudahkah Ally bersedia menempuh kehidupan dan cabaran bergelar suami lebih-lebih lagi apabila Ally memutuskan untuk berkahwin dengan pasangan yang 13 tahun lebih muda dari Ally?
Tatkala saya membuat keputusan, bermakna insyaAllah saya bersedia. Jarak usia yang ketara akan membuatkan perhubungan ini penuh cabaran dan dugaan yang mengujakan. Saya pernah jadi muda, dan Farah sedang menempuh alam dewasa, dengan izin Allah, akan ada titik keserasian dan persahaman antara kami berdua.
7. Mungkin Ally boleh kongsikan sedikit tentang majlis pernikahan yang akan diadakan nanti.
Majlis akad nikah akan dilangsungkan di Masjid Kristal, Kuala Terengganu tanggal 20 Januari 2012 (Ya Allah dah dekat dah!!!) Majlis dirancang secara kecil dan ringkas di mana tiada tema atau warna khusus. Kami tidak bercadang untuk membuat majlis besar-besaran bagi menghormati pemergian Ayahanda saya ke rahmatullah. Pakaian Farah pada hari itu direka oleh ibu sahabat karibnya manakala baju saya pula dibeli di Shah Alam saja.
8. Majlis resepsi kedua-dua pihak pula akan berlangsung bila dan di mana?
Majlis doa selamat akan diadakan di kediaman keluarga Farah manakala resepsi di pihak lelaki akan diadakan awal Februari depan di Kuala Terengganu.
9. Bagaimana pula dengan perancangan selepas berkahwin?
Belum ada perancangan khusus memandangkan Farah masih belajar. Saya bercadang untuk berulang-alik sekerap mungkin ke Korea untuk melawatnya. Nampaknya, lepas kahwin saya kena kumpul duit banyak-banyak dan ‘book’ tiket awal-awal, hehe. Di musim cuti semester pula, insyaAllah Farah akan pulang ke Malaysia.
10. Soal honeymoon pula?
InsyaAllah akan dilaksanakan selepas Farah tamat pengajian tahun 2013. Walau bagaimanapun, lokasi bulan madu masih belum diputuskan lagi.
11. Harapan Ally dengan perkahwinan yang dibina ini.
Singkat atau lama itu ketentuan Allah. Saya berdoa agar kami saling melengkapi. Saya berdoa agar dapat menjadi imam yang mampu memimpin Farah kepada kebaikan. Saya berdoa Farah menjadi makmum yang mendorong saya kepada kemuliaan. Saya juga berdoa agar kami dikurniakan zuriat yang baik, yang akan terus mendoakan ibu dan ayah mereka setelah kami tiada.


What's on Your Mind?
Write A Comment