Selamat Datang Ke Blog Pembodohan Minda Sudah Tamat

Latest Writings

Sejarah Hidup Cik Siti Wan Kembang


Apabila Sultan Mansur Shah (Kelantan) mangkat 1526, maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584.

Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara Di Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610, maka Cik Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti".

Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disukai Baginda, iaitu persembahan daripada rakyat Baginda yang tinggal di Gunung Ayam. Gambar kijang ini telah diterap di atas wang emas dengan perbelanjaan negeri, dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada daripada lambang kebesaran negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini.

Dalam masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di Gunung Chinta Wangsa itu, maka di sebelah timur laut negeri Kelantan telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, dibawah pemerintahan Raja Sakti 1638. Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649.

Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahayamata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong. Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa, dengan Kerajaan Loyor di Jembal.

Baginda Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti, kerana Baginda tidak mempunyai puteri ataupun putera sebab baginda tidak pernah berkahwin.

Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.

What's on Your Mind?
Write A Comment