Selamat Datang Ke Blog Pembodohan Minda Sudah Tamat

Latest Writings

Artis, Golongan Muda Biadap, Kurang Ajar! -Chef Wan


KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan menyatakan bahawa golongan artis muda di zaman ini biadap dan tidak akan sedar sekiranya tidak diajar dengan betul.
Menurutnya yang diwawancara media Utusan baru-baru ini, beliau sedih dengan segelintir masyarakat artis tanahair yang sangat suka meniru budaya barat dan melihat kejelikan sikap ini membuatkannya tampil membuat beberapa teguran yang dianggap pedas oleh sesetengah pihak.

“Budak-budak sekarang ramai yang biadap dan kurang ajar. Kita kena ingat, generasi muda sekarang inilah yang akan memimpin dunia pada masa akan datang. Kalau tak dididik dengan cara yang betul, mereka ini tidak akan sedar.
“Kadang-kadang saya sedih bila segelintir masyarakat kita suka tiru ke arah kebaratan sangat. Biadap dan sebagainya. Buat apa nak tiru barat? Tengok mereka sekarang, negara pun dah nak lingkup, kita nak jadi macam mereka, kah?,” persoalnya tentang tingkah laku golongan muda yang dipetik dari akhbar sisipan, Panca Indera, hari ini.
Menurut Chef Wan, beliau mengambil inisiatif tersendiri untuk menegur mana yang dilihatnya sebagai salah dan tidak bertujuan untuk memalukan mana-mana pihak, sebaliknya ikhlas bagaikan nasihat dari seorang bapa kepada anak-anak.
“Ini sebagai sumbangan untuk mendidik masyarakat, bukan aibkan sesiapa. Anggaplah teguran ini daripada seorang bapa menegur anak-anak. Kalau baik, jadikan contoh tauladan, kalau tak mahu terima, terpulanglah,” katanya lagi.
Sejak kebelakangan ini, Chef Wan dilihat kerap muncul memberikan komen dan kritikan yang cukup pedas dan ‘makan dalam’, terutamanya ketika menjadi juri program Maharaja Lawak Mega (MLM) terbitan Astro serta majlis persandingan Norman – Memey.
Malah pada satu ketika, anak kandung Chef Wan sendiri, Chef Riz dan Serina turut ‘dibelasah’ di laman sosial Facebook miliknya, sekiranya melakukan sesuatu yang salah dari sudut pandangannya sebagai seorang ayah.
Tidak terkecuali, golongan muda dan remaja-remaja yang berpeleseran melepak di kompleks membeli belah Pavilion pun turut ditegur Chef Wan yang memiliki ciri-ciri kebapaan yang tegas, mesra dan prihatin ini.
Bagaimanapun, sebagai orang yang ‘makan garam lebih awal’, Chef Wan mendakwa bahawa beliau ikhlas dalam setiap teguran yang dilontarkan sama ada kepada golongan artis, peserta MLM mahupun golongan muda.
“Kita ni suka berterus terang. Sebagai orang lama dalam industri, saya ni dah terlebih dahulu makan garam. Saya ikhlas memberi teguran yang boleh mendatangkan kebaikan.
“Jadi rasanya tak salah kalau saya mengkiritik,” ujarnya.

Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

What's on Your Mind?
Write A Comment